Bahaya Memakai Terus Baju Baru Yang Di Beli

Ramai yang suka bershopping dan membeli pakaian pakaian baru. Malah anda juga mungkin sibuk mencari pakaian lain seperti seluar dan baju kemeja untuk anak-anak anda.

Bagaimanapun, jangan terlalu ghairah memakai pakaian yang baru dibeli dari kedai. Pakaian apa sekalipun.

Sebaliknya, anda perlu membasuh pakaian baru itu sebelum pertama kali memakainya.

Rupa-rupanya, perbuatan terus memakai pakaian baru tanpa membasuhnya terlebih dahulu mungkin boleh menjejas kesihatan anda, lapor laman Metro.

KUMAN PADA PAKAIAN BARU

Pakar Pengilangan Pakaian Lana Hogue menjelaskan kepada laman Elle, terdapat dua sebab utama mengapa anda perlu membasuh pakaian baru sebelum memakainya.

Pertama, besar kemungkinan terdapat pelbagai jenis kuman yang melekat pada pakaian yang baru dibeli disebabkan proses mencuba pakai, sebelum ia dibeli.

Anda mungkin salah seorang yang mencubanya dan bayangkan berapa ramai orang yang mungkin sudah melakukan perkara yang sama sebelum anda.

ADA KIMIA PADA PAKAIAN BARU

Kedua dan yang paling penting, menurut Lana seperti yang dilaporkan laman Metro, setiap pakaian diselaputi dengan bahan-bahan kimia yang boleh memberikan kesan sampingan yang serius apabila terkena pada kulit.

Oleh itu, “anda seharusnya basuh pakaian sebelum memakainya,” kata Lana.

“Lebih-lebih lagi apa sahaja yang akan disarungkan pada kulit atau yang akan terkena peluh,” tambah beliau.

“Kebanyakan bahan kimia yang digunakan untuk mewarna kain dan benang bagi memudahkannya diproses menerusi peralatan menenun kain, diketahui boleh (membuat kulit) merengsa.”

Bahan-bahan itulah yang boleh menyebabkan masalah seperti radang kulit, menurut laman Metro.

Lana menjelaskan bahan-bahan kimia seperti resin formaldehyde dan pewarna azo-aniline perlu digunakan sepanjang proses pengilangan, “malah pakaian yang dibuat daripada kapas juga mengandungi bahan kimia”.

Maka, langkah terbaik melindungi diri adalah dengan membasuh pakaian baru sebelum ia dipakai.

Semoga kulit anda tidak terasa gatal kelak nanti.

Source: Berita MediaCorp