Batu Yang Keras Pun Boleh Berlekuk Dek Air, Apalah Sangat Hati Wanita

Bila berjumpa dengan seseorang, tak semestinya hati kita akan terus suka dan jatuh cinta. Setiap pasangan pasti ada kisahnya yang tersendiri.

Kalau dah jumpa seseorang yang dirasakan sesuai, apa lagi, tambalah hatinya! Usaha sehabis baik! Lama-lama pasti nampak hasilnya. Bak kata pepatah, sekeras-keras kerak nasi, direndam akan lembut juga.

“Waktu mula-mula kenal dengan suami, saya baru putus cinta. Kebetulan saya temankan kawan baik saya berjumpa dengan kekasihnya, suami ada sekali masa tu. Hari tu saya belikan hadiah utk birthday emak. Suami yang bayarkan walaupun saya kata tak mahu. Jadi saya minta nombor telefonnya supaya boleh ganti semula duit dia.

Tapi nombor yang diberinya salah. Esoknya kami berjumpa semula sebab saya ikut kawan baik saya sekali lagi. Waktu itulah dia beri nombor telefonnya yang betul. Waktu balik tu, rupanya dia ikut saya senyap-senyap. Kemudian dah sampai tu, tiba-tiba dia terus jumpa ayah saya. Saya pun terkejut dan tak sangka. Waktu itulah ayah saya yakin dialah lelaki yang tepat untuk saya.

Tak lama lepas tu, dia terus hantar rombongan untuk merisik. Kami bertunang dan dalam tempoh tu, saya sengaja cari pasal untuk mengeruhkan hubungan kami. Dia ‘layankan’ saja dan terus bersabar dengan perangai saya. Akhirnya tibalah waktu kami dinikahkan.

Saya tidak mempunyai perasaan cinta pada suami waktu itu. Saya redha dan ikhlas menerimanya kerana kesungguhan suami untuk mengahwini saya.

Siapalah saya untuk menidakkan takdir Allah SWT kan? Selepas kami berkahwin, lebih banyak usaha suami untuk memenangi hati saya. Batu yang keras pun boleh berlekuk dek air, apalah sangat hati wanita saya.

Waktu saya sakit, dia jaga saya umpama permaisuri. Bahkan sepanjang perkahwinan kami, tak pernah sekali dia melayan saya dengan buruk. Ketika itu saya sedar, saya jatuh cinta pada suami saya. Alhamdulillah, kini kami sangat bahagia. Tak mungkin ada lelaki lain sebaik dia untuk menjadi suami saya. Sungguh, saya bersyukur…”

Sumber: Hasnida Has