Datuk Red Buat Kejutan Dakwa Adira Berbadan Dua?

Ketika video yang antara lain memaparkan aksinya merangkul pinggang pelakon baharu, Ruhainies masih hangat diperkatakan, suami penyanyi Adira membuat satu lagi kejutan dengan mendakwa isterinya berbadan dua.

Datuk Seri Adnan Abu yang ditemui pada majlis rumah terbuka anjurannya di sini, malam ini, mendakwa isterinya membuat ujian kehamilan di rumah dan menunjukkan tanda positif.

Adira sudah membuat ujian di rumah menggunakan kit kehamilan dan didapati Adira mengandung. Cuma saya belum membawanya berjumpa doktor untuk membuat pemeriksaan lanjut, katanya.

Sejak Khamis lalu, video yang antara lain memaparkan aksi Adnan dan Ruhainies berjalan di sebuah pusat beli-belah di kawasan segi tiga emas di ibu negara, menjadi viral.

Dalam rakaman itu, Adnan dilihat merangkul pinggang Ruhainies ketika menaiki tangga bergerak selain berpegangan tangan di luar premis terbabit.

Dalam reaksi susulan, Ruhainies mendakwa dia diperangkap. Adnan pula dilaporkan sedia menjadikan aktres terbabit sebagai isteri ketiga jika ditakdirkan jodoh mereka.

Namun, dalam temuramah bersama sebuah akhbar lain, Adnan menyifatkan Ruhainies bukanlah calon isteri yang sesuai kerana beliau mencari wanita muslimah.

Ditanya mengenai sikapnya yang sering berdolak-dalik, Adnan meminta maaf kerana memutarbelit kenyataan melalui media yang menghubunginya, semalam.

Macam ini, saya tetap dengan kenyataan pertama di mana saya memang sukakan Ruhainies. Cuma saya tidak tahu adakah dia mempunyai perasaan sama atau tidak, katanya.

Sebelum ini, Adnan dan Ruhainies pernah bekerjasama bagi menjayakan sebuah video promosi Aidilfitri untuk syarikatnya. Adnan yang juga seorang usahawan, menjadikan Adira sebagai isteri kedua pada 3 Disember 2015 di Songkhla, Thailand.

Sumber: Berita Harian