Isteri Pemalas Penyebab Suami Lari Ke Rumah Ibu

Kebersihan adalah asas kepada kehidupan yang harmoni dan tenteram. Lebih lagi jika kita sudah berkeluarga.

Kebanyakkan tugas menguruskan rumah tangga dan mengemas rumah ini sering dilakukan oleh para isteri. Tetapi, suami juga tidak salah jika ringan tulang membantu isteri.

Namun begitu, tidak semua para isteri yang sanggup mengerah tenaga dalam menguruskan rumah tangga. Itulah yang berlaku pada Zaidi apabila isteri terlalu pemalas untuk menguruskan rumah tangga. Disebabkan sikap pemalas isteri itu rumahnya sudah seperti ‘neraka’.

“Saya telah mendirikan rumah tangga dengan Aida sejak 10 tahun lalu. Kami mempunyai tiga orang anak berusia 7, 8 dan 9 tahun. Rumah kami sederhana sahaja luasnya. Kami tidak mempunyai pembantu rumah kerana anak-anak dihantar ke rumah ibu mertua saya selepas mereka balik sekolah.

“Isteri pula bekerja dan balik ketika hari menjelang senja. Saya mengharapkan isteri mempunyai masa untuk mengemas rumah atau memasak setiap kali balik kerja. Bukan masakan yang hebat-hebat yang saya perlukan, cukup sekadar mengalas perut kami anak beranak. Sayangnya apa yang saya harapkan tidak berlaku.

“Setiap hari keadaan rumah tidak berkemas, pakaian yang dibasuh bersepah-sepah tidak berlipat. Pinggan mangkuk penuh sinki. Pendek kata kesemuanya menunggu hujung minggu untuk dibersihkan. Bayangkan dalam tempoh itu bagaimana keadaan rumah dan baunya yang busuk setiap kali saya balik kerja. Hendak melangkah rasanya berat kaki. Hendak minum air juga tidak tertelan.

“Hendak mengharapkan anak-anak mereka masih kecil. Isteri pula asyik mengadu penat dan mahu berehat. Makanan setiap malam dibeli dari restoran berhampiran. Saya mampu mengambil pembantu rumah tetapi dihalang oleh isteri dengan alasan tidak perlu sebab dia boleh lakukan.

“Sayangnya dia hanya berkata tetapi tidak disertakan dengan tindakan. Sudahnya keadaan rumah tetap begitu juga. Apabila ditegur, dia melenting dan merajuk. Saya sudah puas menasihatinya tetapi dia tetap macam itu, tidak ada perubahan. Sikap malasnya semakin menjadi-jadi. Rumah kami sudah seperti sebuah stor barangan terpakai.

“Saya amat malu dengan sikap malas isteri saya itu sehinggakan kami menjadi bahan ejekan jiran-jiran dan saudara mara yang datang. Keadaan itu menjadikan saya malu untuk menjemput saudara mara atau kawan-kawan ke rumah,” ujar Zaidi.

Sejak kecil lagi Zaidi telah dididik untuk menjaga kebersihan rumah oleh ibunya. Tetapi, semua itu hanya tinggal kenangan apabila dia berkahwin dengan isterinya. Beliau juga sangat kesal dengan sikap isterinya yang tidak menerima teguran dari suami

“Sesekali fikir saya merasa pelik kenapa isteri saya berperangai macam itu. Rupanya dalam dunia ini ada juga perempuan yang pemalas dan tidak suka mengemas. Sekarang saya lebih banyak pulang ke rumah ibu daripada di rumah. Saya penat dan mahu ketenangan. Di rumah ibu, saya merasa tenang dan aman. Pernah juga ibu menegur isteri saya tetapi dia langsung tidak peduli.

“Ramai yang hairan bagaimana saya masih boleh bersabar dengan perangai isteri macam itu. Jika diturutkan naluri seorang lelaki, saya layak untuk mencari pengganti dan telah lama berbuat demikian. Tetapi saya sayangkan anak-anak yang tidak berdosa, malang bagi mereka kerana mempunyai ibu yang malas,” ujarnya.

Sebagai seorang suami perlulah bersikap lebih tegas dengan isteri. Jangan terlalu mengikut cakap isteri dan berbincang untuk menyelesaikan setiap masalah yang timbul. Tanggungjawab seorang isteri adalah disamping keluarga, jangan lebihkan rakan-rakan sehingga mengabaikan rumah tangga. Hormatlah suami anda sebagai seorang ketua keluarga.

 

Source: Miss A