Kerana Anak Yang Kecil Perspektif Hidup Saya Berubah Setelah Bergelar Ibu

Menjadi seorang ibu adalah sesuatu yang berada di luar jangkaan saya. Saya mendapat ‘khabar gembira’ ini di awal perkahwinan saya dan saya benar-benar menyangka bahawa saya belum bersedia.

Namun, Tuhan lebih tahu apa yang dirancangkan untuk saya dan suami saya.

Dia mahu saya belajar dan lebih mengenali kekuatan saya. Ada banyak perkara yang telah saya tempuhi dan saya tidak pernah terfikir saya dapat melakukannya sebelum ini.

Pengalaman jaga anak telah benar-benar membuka mata saya, terutamanya dalam hal menghargai suami.

Yang ajaibnya, saya mempelajarinya semua daripada seorang anak kecil – anak saya yang belum mampu bertutur dan belum mampu menguruskan diri. Anak saya yang belum matang dan serba tidak memahami ‘kegilaan’ duniawi.

Pengalaman jaga anak memberi saya perspektif baru, antaranya dalam 6 perkara ini.

1. TIDAK BERDENDAM

Apabila dimarah, anak kecil tak pernah berdendam. Malah, dia mendakap saya dengan lebih erat.

Dia mahukan perhatian yang lebih lagi apabila saya memalingkan muka kerana kecewa atau geram dengan sikapnya.

Walaupun saya yang bersalah kerana tidak mampu menahan sabar, dia tidak pernah mengungkitnya seperti apa yang saya selalu buat.

Apabila bangun dari tidur, dia cepat mendapatkan saya dan memandang saya dengan penuh kasih sayang seperti tiada apa yang pernah berlaku antara kami.

2. FIKIRKAN PERKARA YANG BAIK SEBELUM TIDUR

Selalunya, setiap malam sebelum tidur, anak saya akan bertanya: “Mama, esok apa?”

Dia ingin diingatkan tentang perkara-perkara baik yang telah berlaku dan bakal berlaku pada keesokan harinya. Patutlah mereka sangat segar dan bertenaga apabila bangun pagi!

Jika dibandingkan dengan diri sendiri, saya jarang memikirkan apa-apa sebelum masuk tidur kerana beranggapan semuanya adalah rutin.

Ternyata, anak ini lebih bijak kerana sains sendiri merungkaikan bahawa 10 minit terakhir sebelum tidur adalah waktu yang paling penting untuk anda membuat refleksi diri dan perancangan.

Sebab itulah kajian mendapati anak kecil akan senyum sebanyak 300 kali sehari berbanding orang dewasa yang hanya mampu tersenyum sebanyak 30-40- kali.

3. ‘LET IT GO’

Ada masanya anak saya tak sukakan sesuatu makanan yang saya masak, tidak mahu memakai baju yang saya pilihkan, tidak mahu menyiapkan lukisan yang dia mulakan.

Walaupun saya ibunya, saya tidak akan dapat mengawal semua perkara untuknya – apatah lagi apabila dia besar nanti.

4. LEBIH MENGHARGAI SUAMI

Sejak menjadi ibu, saya belajar untuk menjadi ‘supermom’. Tipulah kalau saya tak pernah rasa ‘geram’ dengan suami yang sedap berehat sedangkan saya dilambakkan dengan macam-macam kerja rumah.

Malah, ada masanya saya berasa cemburu kerana anak lebih suka bergurau dengan suami. “Memanglah dia boleh buat begitu – sebab dia tak pernah sesibuk saya!”

Tapi, pengalaman jaga anak mengubah tanggapan negatif saya terhadap suami saya. Dia amat menghormati dan menyayangi ayahnya yang tak pandai menyanyikan lagu kegemarannya, ayah yang tak pandai memasakkan makanan kegemarannya, ayah yang selalu lupa membawa tuala mengesat hingusnya, ayah yang serba kekok semasa menguruskan keperluan hariannya.

Ini membuat saya berfikir: “Kalau anak saya boleh menerima semua ‘kekurangan’ ayahnya ini, kenapa tidak saya?”

Hakikatnya, suami saya bukannya malas. Tetapi, dia tidak diprogramkan untuk membaca minda saya. Jika difikirkan semula, saya kini boleh tersenyum dan menghargai keunikan suami saya.

5. KENAPA TERGESA-GESA?

Saya lupa untuk tersenyum dan menghargai ‘moment’ di mana anak saya mahu pergi memetik bunga kerana hari semakin gelap.

Saya lupa untuk meraikan kejayaan anak saya memakai kasut sendiri di kala kami sudah terlewat untuk ke taska.

Yang saya ingat, saya asyik menyuruh anak supaya ‘cepat, cepat, dan cepat’.

Sampai satu saat, anak saya yang mendesak saya supaya memenuhi permintaannya di saat itu juga. Dia berkelakuan sama seperti apa yang saya lakukan kepadanya.

Ah… Baru saya sedar bahawa tindakan saya sungguh menjengkelkan.

6. KALAU NAK BUAT SESUATU, BUATLAH!

Dalam banyak-banyak orang, saya tak sangka saya akan belajar menemui keyakinan diri daripada seorang anak kecil.

Anak kecil tak pernah teragak-agak. Mereka nekad, mereka ‘kurang’ memikirkan akibatnya. Tindakan mereka juga spontan dan jujur.

Kalau nak lompat, mereka akan lompat. Kalau nak sesuatu, mereka akan cakap. Kalau nak cari mainan, mereka akan terbalikkan saja kotaknya.

Ternyata, walau kena marah sekalipun, ia amat berbaloi!

PENGALAMAN JAGA ANAK BANYAK MEMBUAT SAYA BERFIKIR

Saya percaya, ramai lagi ibu-ibu yang turut melalui perasaan ini sepanjang pengalaman jaga anak.

Sebagai manusia biasa, kita memang tak boleh lari daripada kesilapan. Namun, itu tak bererti kita tak boleh belajar daripadanya.

Anak-anak ini adalah anugerah yang tak terhingga, dan Tuhan boleh mendatangkan 1001 alasan untuk kita berfikir.

Sumber: Sirap Limau