Trend Wanita Melayu Melancong Solo Kian Meningkat

SINGAPURA: Perubahan dalam trend sosial dan era serba moden bermakna, trend kaum Hawa menjelajah ke negara asing sendirian, ternyata tidak asing lagi.

Dalam laporan Bahagian 2 mengenai trend wanita melancong solo ini, kami ketengahkan dengan lebih mendalam, pengalaman dua wanita Melayu/Singapura yang berani mengembara solo tanpa ditemani keluarga atau rakan-rakan – iaitu Cik Fadila Abdul Wahid dan Cik Nur Atikah Amalina Mohd Zaini.

Rencana BERITAMediaCorp ini juga berkongsi dengan anda pengalaman mereka yang tidak dapat dilupakan, rakan-rakan baru yang ditemui serta kebebasan untuk merantau ke seluruh dunia. Pastinya, ada sebahagiannya yang menjadi inspirasi dan pembakar semangat untuk anda wanita solo di luar sana.

WANITA MELANCONG SOLO – KISAH FADILA ABDUL WAHID

Cik Fadila Abdul Wahid sudah 10 tahun mengembara solo, dan baginya, setiap tempat yang dikunjungi dan orang yang ditemui semasa merantau, mempunyai kisah menarik yang tersendiri.

fadila-versailles-data(Gambar: Fadila Abdul Wahid)

Nama: Fadila Abdul Wahid, penerbit kanan, 36 tahun

Mengembara solo sejak: 2005

Tempat-tempat kembara: Kemboja, Turki, Sepanyol dan yang terbaru, pada Februari lalu, ke Eropah, iaitu ke Jerman, Republik Czech, Poland, Austria, Perancis, Belgium dan Britain.

PENGEMBARA BACKPACKER, GEMAR TEMPAT BERMAKNA

Cik Fadila berkata beliau jenis pengembara backpacker, dan tidak suka membawa bagasi yang berat-berat. Beliau juga hanya mementingkan tempat tinggal yang bersih dan selamat, dan lebih suka menetap di asrama atau apartmen.

“Saya suka tinggal di asrama dan apartmen Airbnb – di situ, saya dapat melihat sendiri gaya hidup dan budaya orang tempatan. Saya tinggal di hotel di penghujung setiap pengembaraan, sebagai hadiah untuk diri saya.

“Saya gemar merantau ke tempat-tempat yang bermakna bagi saya. Contohnya, Turki yang kaya dengan khazanah Empayar Uthmaniyyah, peninggalan Roman dan Greek serta tempat terletaknya makam penyair terkenal, Jalaluddin Rumi; Sepanyol di mana terletaknya kerajaan Islam dahulu, Al-Andalus; dan Eropah kerana sejarah Perang Dunia Kedua,” ujar beliau.

konya-fadila-data
Taskale, Konya di Turki. (Gambar: Fadila Abdul Wahid)

ephesus-fadila-data
Bandar purba Ephesus di Turki. (Gambar: Fadila Abdul Wahid)

‘KELUARGA ANGKAT’ DI TURKI

Cik Fadila pernah tinggal bersama sebuah keluarga Turki di Konya, dan sejak itu, ia dianggap seperti keluarga angkatnya, bahkan beliau sudah dua kali mengunjungi mereka.

“Semasa di Turki, saya tinggal beberapa hari bersama seorang rakan yang bekerja di Istanbul. Beliau sibuk bekerja, oleh itu, saya berjalan-jalan di Istanbul keseorangan.

“Saya diperkenalkan kepada seorang warga Singapura yang sudah 10 tahun tinggal di Konya, iaitu kawan kepada rakan saya. Tapi saya tidak boleh menetap di rumahnya, kerana beliau lelaki. Jadi beliau mengajak saya tinggal dengan sebuah keluarga Turki, seorang wanita yang tinggal bersama ibu bapanya yang sudah tua.

konya-family-fadila-data
Cik Fadila bersama keluarga ‘angkat’ di Konya, Turki. (Gambar: Fadila Abdul Wahid)

“Ia satu situasi yang agak aneh bagi saya. Namun, saya bersetuju untuk tinggal bersama mereka. Ia sangat menakjubkan, kerana mereka juga percaya dengan saya dan menerima saya. Saya rasa seperti berada di rumah sendiri. Saya tidur di dalam bilik yang mereka sediakan, dan mereka memasak untuk saya. Apabila saya meninggalkan Konya, saya, wanita itu malah ibu bapanya juga menangis terisak-isak.”

PENGALAMAN TIDAK DAPAT DILUPAKAN

Pelbagai pengalaman unik memberi kesan kepada Cik Fadila. “Semasa dalam kereta api perjalanan jarak jauh, saya berkongsi roti dan buah-buahan dengan seorang wanita Austria.

“Saya bersiar-siar di tiga bandar bersama seorang wanita Jepun yang saya temui dalam kereta api ‘overnight’ ke Krakow, kerana kami hendak ke tempat-tempat yang sama. Di Barcelona dan Madrid, saya tinggal di ‘ghetto’ – menyeramkan tetapi satu pengalaman menarik.

fadila-and-japanese-lady-data
Cik Fadila bersama Tomona, wanita Jepun yang menjadi rakan barunya semasa dalam kereta api ke Krakow. (Gambar: Fadila Abdul Wahid)

“Di Brussels, saya tersesat jalan semasa mencari restoran halal, dan tiba di kejiranan Yahudi Ortodoks secara tidak sengaja. Di Prague, saya tinggal di apartmen Airbnb dengan dua lagi lelaki yang berbadan tegap dan besar. Namun mereka baik hati dan tidak mengapa-apakan saya.

“Saya pernah berlari mengejar kereta api dengan membawa backpack seberat 20 kilogram. Turun dan naik kereta api di stesen yang salah. Sukar berkomunikasi kerana berlainan bahasa. Di Cordoba pula, saya tinggal di apartmen yang dindingnya berpecah derai dimamah usia kerana dibina pada abad ke-10,” ujar Cik Fadila.

bath-fadila-data
Cik Fadila Abdul Wahid di Bath, Britain. (Gambar: Fadila Abdul Wahid)

NYARIS MAUT DALAM KEMALANGAN

Semasa kali pertama melancong sendirian 10 tahun lalu, iaitu di Kemboja, Cik Fadila ditimpa kemalangan mengerikan yang kata beliau, mengajarnya betapa pentingnya membeli insurans perjalanan.

“Motosikal yang dibonceng saya, dilanggar sebuah lagi motosikal yang bergerak terlalu laju. Lelaki yang melanggar kami maut. Saya tidak memakai topi keledar.

“Saya tidak sedarkan diri selama 10 minit. Seorang jururawat Amerika yang juga mengembara solo ketika itu, ‘menyelamatkan’ saya.

“Saya dibawa ke klinik privet kerana kata mereka, hospital akan meminta saya bayar jumlah wang yang banyak. Apabila saya sedarkan diri, darah mengalir dari hidung saya. Saya diberitahu, jika ada darah beku dalam otak saya, saya perlu ke Bangkok.

“Saya tidak hubungi ibu bapa saya, kerana mereka akan suruh saya pulang ke Singapura! Tapi saya hubungi seorang rakan saya. Pemilik asrama di mana saya tinggal juga menemani saya sehingga rakan saya datang. Saya mengalami lebam-lebam di bahagian kanan tubuh saya. Lebam di bahagian kanan mata saya malah kelihatan seperti peta Kemboja!

“Rakan saya tinggal bersama saya selama beberapa hari, dan saya teruskan pengembaraan solo saya. Keesokan harinya, saya tetap ke Angkor Wat meskipun kepala saya sakit. Setibanya di asrama, sekumpulan orang – anggota keluarga penunggang motosikal yang maut – sedang menunggu saya. Saya ke stesen polis untuk menyatakan saya tidak akan membuat sebarang tuduhan terhadapnya.

“Namun, insiden ini tidak membuat saya fobia mengembara sendirian. Ia banyak mengajar saya tentang keihsanan dan kebaikan sesama manusia. Ia juga mengukuhkan iman saya,” ujar Cik Fadila.

cologne-data
Cologne di Jerman. (Gambar: Fadila Abdul Wahid)

WANITA MELANCONG SOLO – KISAH NUR ATIKAH AMALINA

atikah-castillo-data
(Gambar: thetudungtraveller.com)

Nama: Nur Atikah Amalina Mohd Zaini, guru, 25 tahun

Mengembara solo sejak: Pertama kali ke Canberra, Australia, sendirian pada 2009 untuk melanjutkan pelajaran. Mengembara solo sejak 2013

Tempat-tempat kembara: Lebih 30 bandar di Asia, Eropah dan Afrika. Negara yang dikunjunginya – Britain, Sepanyol, Ireland, Hungary, Austria, Jerman, Malaysia, Indonesia, Mauritius

SOLO, BERTUDUNG, 30 BANDAR DUNIA

Berapa ramaikah di antara kita yang boleh mengaku sudah melancong ke 30 buah bandar? Berapa ramai daripada anda pula boleh mengaku sudah melancong ‘solo’ atau sendirian ke lebih 30 buah bandar asing?

BERITAMediaCorp mendapat tahu, penulis blog muslimah Singapura, Cik Nur Atikah Amalina Mohd Zaini, layak diberikan penghormatan itu kerana sudah menjelajah ke 40 bandar serata dunia – lebih 30 daripadanya secara solo!

Bagi penulis blog thetudungtraveller.com itu, banyak pengalaman yang sudah ditimba beliau.

Misalnya, pengalaman beliau bertemu seorang wanita di Sevilla, yang ingin cuba memakai tudung selepas melihat penampilan beliau yang berhijab, tersemat dalam ingatan.

sevilla-tudung-atikah-data

Cik Nur Atikah bersama wanita yang ditemuinya di Sevilla, yang memintanya mengajar beliau memakai tudung. (thetudungtraveller.com)

Cik Atikah ketika itu sedang memakai tudung di dalam asrama di Sevilla, Sepanyol, sebelum keluar bersiar-siar.

Wanita Chile yang berkongsi asrama dengan beliau kemudian bertanya adakah beliau boleh mengajarnya bagaimana untuk memakai hijab. Melihat penampilan barunya yang bertudung itu, wanita berkenaan tersenyum lebar dan berkata, ia satu pengalaman yang lain daripada lain.

BERTUDUNG, MENGEMBARA SOLO

Di bandar yang sama, Cik Atikah juga pernah ditegur seorang lelaki warga emas yang menuding jari kepada tudungnya, dan dalam bahasa Sepanyol, menyuruhnya menanggalkan hijabnya itu.

Cik Atikah dengan tenang menggelengkan kepalanya, melemparkan senyuman dan meninggalkan tempat itu.

“Saya yakin bahawa dalam kebanyakan kes, penampilan anda yang berhijab bukan satu isu, tetapi yang penting, adalah kelakuan anda semasa berhijab. Malah, apabila menyedari saya melancong sendirian, ramai yang mesra dengan saya, memberikan nasihat malah ada pemilik kedai makanan yang memberikan saya hidangan secara percuma.

bano-mezquita-data

Bano de la Mezquita, Alhambra, Sepanyol. (Gambar: thetudungtraveller.com)

“Mengembara dengan memakai hijab atau tidak, saya rasa, tiada bezanya. Yang penting, anda jaga diri semasa merantau ke negara asing, sentiasa berhati-hati, dan jangan lakukan perkara yang membahayakan diri anda,” ujar Cik Atikah, seorang guru.

BERBAIK SANGKA KEPADA PENGEMBARA

Cik Atikah juga bertemu individu-individu yang ikhlas membantunya semasa dalam perjalanan kembaranya.

“Semasa saya tersesat jalan apabila tiba di Sevilla pada waktu malam, seorang pengembara lelaki dari Afrika Selatan menemani saya ke asrama saya, tanpa meminta apa-apa dari saya.

“Di Vienna, saya berkongsi bilik dengan seorang pengembara wanita dari Romania yang selalu mengongsi roti dan jam dengan saya.

atikah-new-friends-data

Cik Nur Atikah bersama pengembara wanita lain. (Gambar: thetudungtraveller.com)

“Di Bali pula, seorang pengembara wanita berusia lewat 40-an tahun duduk dengan saya, dan mengongsi kata-kata hikmah tentang kehidupan dan cinta, apabila beliau mendapat tahu saya sedang mengalami masalah peribadi,” kata Cik Atikah dalam blognya.

MA’AS SALAAMAH DI KOREA

Di sebuah stesen kereta api di Seoul pula, seorang lelaki warga emas Korea memberikan salam kepada Cik Atikah sambil tersenyum lebar.

“Beliau bertanya saya dari negara mana, selepas saya menjawab salamnya. Kami terus rancak berbual tentang pengalaman beliau tinggal di Arab Saudi selama 10 tahun (beliau mulanya sangka saya orang Arab!), dan saya pula menceritakan saya mula jatuh cinta dengan Korea.

korea-ahjussi-atikah-data

Lelaki Korea yang menyampaikan salam kepada Cik Nur Atikah. (Gambar: thetudung traveller.com)

“Lelaki itu kemudian mengucapkan ‘ma’as salaamah (selamat tinggal dalam Bahasa Arab) kepada saya.

“Ia pertemuan yang singkat tetapi sungguh bermakna bagi saya,” kata Cik Atikah.

Sumber: BERITAMediaCorp/nd