Video Johan GP Jerman Khairul Mejaga Maruah Umat Islam Menjadi Viral

JUARA kali kedua perlumbaan motosikal Moto3 Grand Prix (GP) Jerman, Khairul Idham Pawi sekali lagi menerima pujian apabila menunjukan imej seorang Muslim yang tetap menjaga sensitiviti agama ketika meraikan kejayaan di podium.

Khairul menerusi rakaman video berdurasi empat minit 14 saat dilihat segera mengelak simbahan arak dan meninggalkan podium walaupun kelihatan pesaing terdekatnya cuba mengejar dan menghalakan semburan air berkenaan.

Beliau yang mesra disapa KIP mengambil masa 47 minit 07.763 saat bagi menamatkan perlumbaan dalam keadaan litar basah walaupun bermula di petak ke-20 perlumbaan.

Anak kelahiran Kampung Gajah, Perak itu turut menjuarai perlumbaan MotoGP Argentina pada April, di mana pada waktu itu, peminat-peminat di Malaysia memuji sikapnya yang menolak percikan arak di podium apabila pemenang tempat kedua dan ketiga menyemburkan arak ke arahnya.

Kemenangan beliau, yang digelar “raja litar basah” membolehkan Khairul berada di tempat ke-10 keseluruhan selepas mengumpulkan 54 mata.

Sumber: Bulletin Media